SEPANG – Pelakon Along Cham mengibaratkan penahanannya melebihi tempoh sebulan di Penjara Sungai Buloh berkaitan kes dadah, seperti `mencuci hati di tempat dobi’.
Meskipun kerjayanya terjejas, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, percaya dia direhatkan dan menganggapnya dugaan dan ujian Allah SWT.
“Terima kasih kepada ‘pembenci saya’, banyak juga fitnah yang saya dengar walaupun ketika berada di Penjara Sungai Buloh,” katanya yang bertekad membersihkan nama.
Along Cham ditemui pemberita sejurus Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskannya (DNAA) daripada pertuduhan memiliki kanabis.
Bagaimanapun, dia didakwa di bawah dua pertuduhan baharu di Mahkamah Majisret yang kemudian membenarkannya diikat jamin berjumlah RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Menurut pelawak itu, dia berhasrat mengeluarkan filem kisah benar mengenai dirinya.
“Ketika saya melangkah masuk ke penjara, ada yang gembira dan bertepuk tangan, namun saya serah bulat-bulat dan yakin Allah SWT mengetahui segala-galanya,” kata pelakon itu.
Sejurus membayar ikat jamin, dia memeluk ibu, isteri, anak lelakinya dan rakan-rakan artis lain, seperti Angah Raja Lawak dan Didie Alias yang hadir memberikan sokongan moral.
Menurut Along Cham, ketika di penjara, wang ringgit tidak lagi bernilai namun sokongan moral daripada Jabatan Penjara Malaysia termasuk penghuninya, memberi semangat untuk dia terus kuat.
Sementara itu, peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili pelawak itu berkata, anak guamnya kini berdepan tiga kes dadah iaitu dua memiliki dan satu memasukkan dadah.
“Alhamdulillah, Along telah dibebaskan sementara dengan jaminan, ini memberi peluang kepadanya untuk membersihkan nama daripada fitnah-fitnah yang ada.
“Selaku peguamnya, saya percaya Along berada di pihak yang benar dan kami akan buktikan dia tidak bersalah,” katanya yang turut hadir bersama peguam-peguam, Muhammad Nor Tamrin, Mohd Zali Shaari dan Syed Yusuf Syed Zaid.
Sementara itu, isteri pelakon itu, Afreena melahirkan rasa syukur kerana suaminya dapat pulang ke pangkuannya dan anak-anak.
“Syukur Alhamdulillah, ini yang saya mahukan sejak Disember lalu, saya dapat merasakan dia akan pulang.
“Sebelum ini, perasaan saya bercampur-baur dan gementar, tetapi dia berhak untuk keluar kerana tempatnya adalah di rumah bukan di penjara,” katanya. – MalaysiaGazette