KLANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) menanam 2,000 pokok bakau di Pulau Ketam, dekat sini, baru-baru ini.
Program Penanaman 2,000 Pokok Bakau dengan kerjasama Yayasan Axiata itu menyokong visi Kesihatan Planet sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh UPM bagi manfaat masyarakat.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Hang TuahBaharudin berkata, projek ini membuktikan komitmen UPM dalam agenda Kesihatan Planet bagi menangani isu kelestarian alam sekitar.
“Projek ini turut mendidik generasi muda tentang kepentingan hutan paya bakau yang merupakan nurseri ekosistem akuatik untuk keseimbangan ekosistem serta
sumbermakanan negara,” katanya.
Tambah beliau, program ini turut menyokong usaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara.
“Penanaman pokok bakau ini mencerminkan pendekatan lestari universiti yang berteraskan komuniti melalui galakan kerjasama antara masyarakat tempatan, penyelidik dan agensi kerajaan,” katanya.
Pengarah IPSAS, Prof. Dr. Haslinda Abdullah berkata, pemilihan Pulau Ketam didorong oleh keadaan kritikal dijangka pupus menjelang tahun 2050 jika tiada penanaman semula pokok bakau.
“Ketiadaan pokok bakau akan menjejaskan ekosistem akuakultur dan penduduk setempat. Program ini merupakan usaha kami menyahut cabaran Planetary Health untuk memastikan keterjaminan makanan dan kelestarian ekosistem,” katanya.
Ketua Program, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, kajian mendapati Pulau Ketam adalah salah satu kawasan di Selangor yang bakal menerima impak besar akibat kenaikan paras laut menjelang tahun 2100.
“Hanya pokok bakau boleh bertindak sebagai instrumen semula jadi untuk menebat kenaikan aras laut secara minimum. Oleh itu, kami telah memilih Pulau Ketam dan
mendapat sokongan Yayasan Axiata untuk kempen kesedaran ini,” katanya.
Tambah beliau, fasa pertama program melibatkan penanaman 1,000 pokok bakau, diikuti fasa kedua dengan penglibatan 50 pelajar sekolah di Pulau Ketam sebagai duta yang akan memantau pokok yang ditanam.
“Fasa ketiga pula akan menyaksikan penanaman 1,000 pokok tambahan dengan penyertaan belia daripada Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan, pelajar UPM, Badan
Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Dalam pada itu, program tersebut merealisasikan konsep One Planetary Health yang menekankan hubungan antara kesihatan manusia, haiwan, dan alam sekitar dan
manfaatnya kepada ekosistem di Pulau Ketam. – MalaysiaGazette