Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menuntut ganti rugi RM1 juta daripada seorang pemegang akaun TikTok yang disamannya berkaitan rakaman video yang mengaitkan beliau dengan amalan ilmu hitam.

Rosmah menyatakan jumlah ganti rugi itu wajar selepas percaya kenyataan fitnah yang terkandung dalam rakaman video itu memusnahkan kredibiliti, nama baik dan reputasinya selain memberi gambaran beliau gagal mempraktikkan nilai-nilai Islam.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mengemukakan saman terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din pada 19 September 2023 kerana membuat kenyataan dalam video bertarikh 22 Mac pada tahun yang sama.

Pada 28 Mei 2024, media melaporkan, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar dari Mahkamah Tinggi di sini selepas pemilik akaun TikTok itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh selepas sesi pengurusan kes hari ini menetapkan 27 Mei ini bagi prosiding taksiran ganti rugi.

Dalam afidavit yang diikrarkannya bagi menyokong taksiran ganti rugi, Rosmah menyatakan, jumlah RM1 juta itu wajar kerana kenyataan fitnah tersebut merosakkan reputasi beliau.

Beliau memohon ganti rugi dengan mengambil kira status, latar belakang, pencapaiannya dalam masyarakat selain mempertimbang bahawa reputasi beliau sebagai figura yang dikenali serta penaung kepada beberapa badan amal di negara ini.

Afidavit yang difailkan pada 10 Oktober 2024 melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak itu antara lain menyatakan, kenyataan-kenyataan fitnah yang dimuatnaik defendan menjadi bualan hangat.

“Ekoran fitnah yang dimuatnaik itu, saya mengalami gangguan emosi dan kemurungan serta hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai kerana risau dipersoal oleh orang ramai dan kenalan-kenalan saya.

“Selain itu, saya terpaksa memberi penjelasan kepada orang ramai dan rakan-rakan bagi mengelak salah faham setiap kali pernyataan mengenai kenyataan fitnah itu diutarakan kepada saya.

“Saya percaya defendan secara tidak langsung memperoleh keuntungan dengan menjadi lebih terkenal dan mendapat engagement yang banyak di platform TikTok berdasarkan peningkatan pengikut dan jumlah likes akaun tersebut,” ujar Rosmah dalam afidavit sokongan yang diperoleh pihak media hari ini.

Menurut isteri bekas Perdana Menteri itu, sehingga tarikh pemfailan writ saman dan pernyataan tuntutan, defendan masih gagal menjawab dakwaan dalam notis tuntutan mahupun menafikannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here