Anggota KPDN melakukan sitaan tong gas kosong dan berisi dalam serbuan di sebuah stor haram di Kulai, hari ini.

KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyita 903 unit tong gas petroleum cecair (LPG) yang berisi dan kosong pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah stor haram di Air Bemban di sini hari ini.

Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, menerusi operasi itu sitaan melibatkan tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg itu disita bersama-sama beberapa dokumen dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM80,000.

“Hasil daripada pemeriksaan mendapati stor haram itu menyimpan LPG untuk tujuan aktiviti penyelewengan iaitu memindahkan gas dari tong berkapasiti 14 kg bersubsidi ke tong gas berkapasiti 50 kg untuk kegunaan industri.

“Pemeriksaan lanjut mendapati stor itu juga gagal untuk mengemukakan dokumen permit penyimpanan atau lesen barang kawalan berjadual LPG apabila diminta,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, empat lelaki warga asing yang dipercayai pekerja stor dan semuanya berusia dalam lingkungan 30-an turut ditahan untuk membantu siasatan.

Susulan itu, katanya, satu tindakan kes dibuat bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 untuk mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran LPG termasuk sumber LPG diperolehi dan edaran mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kes juga, katanya, akan disiasat bawah AKB 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa lesen atau permit menyimpan yang sah.

Lilis Saslinda berkata, serbuan itu dibuat hasil aduan orang awam melalui inisiatif ‘Kita Gempur’ dan risikan yang dilakukan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan.

“KPDN Johor ingin menegaskan akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.

“Selain itu, kita juga mengalu-alukan aduan awam dan menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan dan maklumat,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here