ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua lelaki warga asing kerana terlibat mengedar dadah dan merampas bahan terlarang itu yang bernilai lebih RM373,964 dalam serbuan di Nusa Bestari si sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, lelaki warga Bangladesh dan warga berusia 43 dan 39 tahun itu ditahan dalam operasi narkotik, pada pukul 5 petang.
“Dalam serbuan ini polis berjaya merampas sejumlah dadah sebanyak 2.1 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 11.50 gram ganja, 595.21 gram syabu, 2.20 gram heroin dan tiga gram pil erimin 5.
“Suspek warga Bangladesh dipercayai bekerja sebagai tukang kayu sementara warga Indonesia terbabit sebagai ‘runner’ atau penghantar bekalan dadah kepada pembeli yang dipercayai rakan-rakan mereka.
“Suspek menggunakan modus operandi, menjadikan sebuah unit rumah pangsa, untuk dijadikan tempat operasi pengedaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Kumarasan berkata, hasil ujian urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, semua dadah terbabit boleh diedarkan kepada 1,500 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
“Kedua-dua suspek direman sehingga 31 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette