KLANG – Polis mengesahkan tiada unsur kecuaian mahupun jenayah susulan letupan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kapar, Klang yang berlaku pada 20 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata, pihaknya telah selesai menjalani siasatan.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) kilang terbabit.
“Setakat ini, polis buka Kertas Inkuiri Polis (KEP) sahaja. Sepanjang tempoh siasatan didapat tiada apa-apa kecuaian jadi kita ubah ke Seksyen 285 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui selepas program Pasar Pagi Taman Eng Ann, Bandar Baru Klang.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei.
Tambah Vijaya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah melakukan sisatan terhadap kilang berkenaan
Jelas beliau, proses rakaman keterangan pengusaha kilang, pekerja dan mangsa juga telah selesai.
Terdahulu katanya, seramai 33 mangsa akibat letupan kilang berkenaan mengalami cedera ringan.
“Semua dirawat di Jabatan Pesakit Luar Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” tambahnya.
Sementara itu, Vijaya berkata sehingga kini kilang berkenaan masih belum beroperasi bagi memberi laluan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan.
Sebagai rekod, polis sebelum ini mengesahkan letupan di kilang tersebut berpunca daripada reaksi bahan kimia.-MalaysiaGazette