Amyra Laila mengaku salah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas kesalahan membuat laporan polis palsu

JOHOR BAHRU – Seorang pempengaruh warga Singapura didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membuat laporan palsu, minggu lalu.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Amyra Laila Ho, 45, selepas wanita berkenaan mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Inggeris.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa memberi maklumat palsu kepada seorang anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di Balai Polis Larkin di sini, pukul 1.02 pagi, pada 22 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai satu bentuk pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang ringan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu dengan turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga minggu, jika gagal membayar denda berkenaan, bagaimanapun difahamkan tertuduh sudah menjelaskan bayaran denda itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis dengan mendakwa pada 10 Januari lalu, kira-kira pukul 1 petang, ketika berada di bahagian belakang sebuah pusat beli-belah di Taman Abad di sini, dia didatangi seorang lelaki dan wanita berbangsa Cina yang mempromosikan minuman teh Cina kepadanya.

Dia mendakwa telah menolak permintaan itu, namun wanita berkenaan dikatakan mengarahkannya untuk menghidu minuman itu, kemudian mendakwa selepas menghidu, dia berasa kebas dan kepala menjadi pening.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, wanita berkenaan membuat laporan palsu mendakwa dirinya cuba diculik, bagaimanapun hasil siasatan polis mendapati insiden cubaan culik itu tidak berlaku kerana berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) serta bukti-bukti teknikal mengesahkan tiada sebarang pergerakan dia dikesan di lokasi kejadian.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast