JOHOR BAHRU – Gara-gara membuat dakwaan palsu cuba diculik di pusat beli-belah KSL City Mall, Taman Abad di sini minggu lalu sehingga tular dalam media sosial, seorang wanita warga Singapura menerima padah apabila bakal berdepan pertuduhan di mahkamah di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, wanita berusia 45 tahun itu akan dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret di sini pukul 9 pagi.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Johor dan menerima arahan pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain,” katanya dalam kenyataan media..
Terdahulu, pada 22 Januari lalu, polis menerima laporan berkaitan kejadian cubaan culik wanita warga asing itu yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 1 petang, 10 Januari lalu.
Kumar berkata, wanita itu mendakwa didatangi seorang lelaki dan seorang wanita berbangsa Cina yang menjual teh kepadanya sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
“Dia mendakwa dipaksa oleh kedua-dua individu itu untuk menghidu teh yang dipromosikan menyebabkan dia merasa pening dan tidak sedarkan diri.
“Hasil siasatan polis mendapati insiden cubaan culik itu tidak berlaku kerana berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) serta bukti-bukti teknikal mengesahkan tiada sebarang pergerakan dia dikesan di lokasi kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, kejadian cubaan culik itu telah dikesan tular dalam beberapa platform media sosial dan mendapat maklum balas negatif daripada netizen yang mempercayai bahawa kejadian itu benar-benar berlaku.
“Pempengaruh media sosial turut mengulas dengan mengaitkan isu ini sebagai ancaman kepada keselamatan pelancong ke negeri Johor.
“Polis Johor memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini adalah terkawal dan kita komited memantau senario keselamatan negeri ini.
“Kami ingin memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada awam terutama menyentuh isu keselamatan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang diakses dalam media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu.
“Kami juga ingin menasihati orang ramai supaya terus peka dan konsisten menyalurkan maklumat mengenai aktiviti jenayah yang berlaku di lokaliti masing-masing,” katanya.- MalaysiaGazette