KUALA LUMPUR – Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa semua ahli gabungan parti tersebut perlu memastikan kenyataan yang dikeluarkan adalah berasaskan fakta bagi mengelak timbulnya sebarang isu.
“Saya mengharapkan ahli PN yang bercakap tentang sesuatu itu perlulah dibimbing dan berkata hanya perkara sebenar.
“Saya tidak menyebelahi sesiapa pun. Mereka perlu pastikan diri mereka tidak terpalit dengan sebarang isu yang tidak penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di Menara PGRM, di sini, hari ini.
Kenyataan ini hadir susulan kontroversi melibatkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, adalah anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad, Tan Sri Yeoh Tiong Lay.
Muhyiddin turut bertegas bahawa pendirian parti adalah jelas iaitu menghormati semua kaum dan memastikan setiap kenyataan yang dibuat adalah berasaskan fakta serta selaras dengan undang-undang dan perlembagaan negara.
“Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh individu tidak semestinya mencerminkan pendirian parti, kami menghormati kepentingan semua pihak,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa kekosongan jawatan bendahari bagi parti berkenaan akan dibincang dalam mesyuarat akan datang. – MalaysiaGazette