Bukit Bendera jadi pilihan pelancong asing dan tempatan sempena cuti Tahun Baharu Cina.

GEORGE TOWN – Kawasan pelancongan Bukit Bendera di Air Itam di sini, kekal menjadi tumpuan ramai sempena cuti Tahun Baharu Cina, dengan pelancong asing dan tempatan membanjiri destinasi popular tersebut.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, laluan menghala ke pusat peranginan itu sesak sepanjang kira-kira satu kilometer dengan kenderaan berbaris panjang.

Laluan ke Bukit Bendera sesak lebih satu kilometer.

Rata-rata pelancong, termasuk warga asing yang bekerja di negeri ini dilihat tidak melepaskan peluang untuk menghabiskan cuti Tahun Baharu Cina di kawasan yang terkenal itu.

Walaupun terpaksa beratur panjang, masing-masing dilihat sanggup demi membawa keluarga masing-masing menikmati keindahan alam semulajadi di atas Bukit Bendera.

Pelancong tempatan, Nurulhuda Ramli, 47, yang datang dari Sik, Kedah berkata, ini merupakan kali pertama mereka empat sekeluarga datang ke Bukit Bendera.

“Kami keluar rumah seawal jam 8.30 pagi dan Alhamdulillah perjalanan lancar tanpa sebarang kesesakan di lebuhraya namun laluan untuk ke Bukit Bendera ini sesak meskipun kami sampai sini jam 10 pagi.

Nurulhuda.

“Memandangkan ini merupakan kali pertama kami ke sini jadi saya dan suami tetap menunggu bagi mendapatkan tiket meskipun terpaksa beratur hampir sejam.

“Bukan saja itu, anak lelaki saya berusia 12 tahun turut teruja untuk melancong ke sini tambahan pula kini musim cuti sekolah,” katanya  kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, bagi Koh Sze Sheng, 41, yang balik ke kampung halaman sempena Tahun Baharu Cina berkata, setiap kali pulang beraya mereka lima sekeluarga akan ke Bukit Bendera.

“Kami menetap di Kuala Lumpur jadi alang-alang balik kampung saya dan isteri manfaatkan peluang ini untuk melancong bersama anak-anak.

“Selalunya pagi kami akan melancong ke kawasan popular di negeri ini dan semestinya Bukit Bendera sentiasa menjadi pilihan kerana anak-anak teruja nak naik kereta api funikular tambahan pula cuaca di atas bukit itu sejuk.

“Walaupun perlu beratur lama kerana musim cuti tapi kami tetap memilih untuk datang ke sini kerana pemandangannya sangat cantik dan berbaloi dengan pengalaman yang diperoleh,” katanya.

Mazlan.

Bagi Mazlan Syed, 53, pula, dia memilih Bukit Bendera susulan perancangan mereka untuk menetap di inap desa terpaksa dibatalkan susulan tempahan penuh.

“Kami 30 orang terdiri daripada lima keluarga yang datang dari Sungai Pinang di sini, dan memilih Bukit Bendera kerana ada ahli keluarga yang belum pernah ke sini.

“Setakat jam 12 tengah hari ini dan lebih satu jam kami beratur untuk mendapatkan tiket kereta api funikular tapi tiada isu kerana masing-masing sedia maklum musim cuti sekolah semestinya mana-mana kawasan pelancongan akan ramai,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kereta api funikular Bukit Bendera mencatat sejarah apabila disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 kereta api funikular paling cantik di dunia oleh majalah pelancongan antarabangsa, Travel + Leisure.

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, kereta api funikular Bukit Bendera adalah satu-satunya kereta api funikular seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara yang menerima pengiktirafan ini.

“Lebih membanggakan, kita turut berada sebaris dengan The Peak Tram di Hong Kong, satu-satunya kereta api funikular lain di Asia yang tersenarai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here