LAHAD DATU- Gegaran gempa bumi sederhana berukuran magnitud 5.9 yang berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia malam tadi turut dirasai penduduk di tiga daerah di Sabah iaitu Semporna, Tawau dan Lahad Datu.
Jururawat Hospital Lahad Datu, Nur Azirah Aki, 30, berkata dia yang sedang bertugas ketika itu dapat merasakan gegaran yang berlaku sekitar 11 malam dan tiada kejadian tidak diigini berlaku di hospital tersebut.
“Saya sedang melakukan pemeriksaan rutin terhadap pesakit apabila tiba-tiba terasa gegaran. Walaupun tidak terlalu kuat, ia cukup untuk dirasai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nur Hamida Abdul Rahman, 40, pula berkata anaknya mengalami pening secara tiba-tiba yang dipercayai berkait dengan kejadian gempa bumi tersebut.