KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dinasihatkan supaya tidak sesekali menimbulkan suasana tidak aman khususnya melibatkan hal ehwal agama Islam berkaitan penjualan minuman keras di premis perniagaan.
Pengerusi Dewan Perdagangan dan Perindustrian Islam Antarabangsa Malaysia (MICCI), Muhamad Amin Fahmi berkata, kenyataan dikeluarkan pemimpin itu boleh jelas menunjukkan beliau tidak sensitif terhadap kepentingan masyarakat Islam.
“Kenyataan Kor Ming benar-benar mengundang kemarahan masyarakat Islam dan sebagai ahli politik senior yang memegang jawatan menteri sewajarnya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai agama orang lain.
“Kenyataan seumpama itu boleh mengundang suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama ditambah pula ia diucapkan menjelang peristiwa sejarah Israj dan Mikraj.
“Kor Ming dan dan pihak yang tidak bertanggungjawab sewajarnya faham dan hormat, jika asas kepada keharmonian bermasyarakat tidak dihormati, maka tunggu sahaja akibatnya. Kesabaran sentiasa ada had nya. Jangan sesekali melampaui batas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MIICCI memohon campurtangan institusi beraja dalam hal melibatkan kepentingan dan kebajikan agama Islam kerana Raja adalah ketua agama Islam yang menjadi lembayung rasmi buat masyarakat Islam di Malaysia.
“Titah Di Raja kepada pihak tidak bertanggungjawab ini amat penting bagi memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian bermasyarakat.
“MIICCI juga berharap kerajaan madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa cakna berkenaan perihal agama Islam agar dapat ambil tindakan tegas terhadap Kor Ming dan sekiranya perlu, lucutkan sahaja jawatan beliau.
“Ini penting agar dapat berikan satu mesej kepada semua pimpinan negara supaya jangan sesekali berani menyalakan sumbu api kemarahan masyarakat Islam hingga boleh memecah belah keharmonian bangsa sejagat,” jelasnya.
Dalam pada itu, MIICCI menyeru semua masyarakat Islam tidak kira daripada kalangan dewan perniagaan, perguruan silat, komuniti ngo, parti politik mahupun individu supaya bersatu memartabat hal ehwal Islam.
Terdahulu, Kor Ming menyarankan PBT mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Kor Ming menegaskan, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.
Pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan MBI telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang. – MalaysiaGazette
isu arak kenapa tak ambil tindakan atas Nga Kor Ming atas isu 3R. itu kan persenda agama islam. apa kah kerajaan madani tak ada taring dan tak ada kuku. sepatutnya pertubuhan islam buat laporan polissecara veramau ramai supaya of ming dijatuhkan hukuman berat dan hilang kelayakan sebagai MP.