KUALA LUMPUR – Ahli dan pengundi terutamanya dalam kalangan Pas supaya berhati-hati dan tidak termakan fitnah sentimen perkauman dibawakan saban kali oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa, Razman mempunyai rekod berbohong dan kemudian meminta maaf dan menjadikan perkara itu ‘amalan’ biasa.
Terbaharu katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu telah menuduh Kerajaan Perpaduan sebagai dikuasai oleh ‘bangsa DAP’ serta membuat keputusan yang merugikan umat Islam dan orang Melayu.
“Saya merujuk kepada beberapa kenyataan Razman baru-baru ini yang bukan sahaja fitnah tetapi mampu mencetuskan ketegangan kaum, agama di negeri Perak. Beliau sengaja main isu perkauman dengan melibatkan pembentukan kerajaan perpaduan antara BN dan PH bagi memastikan kestabilan negeri Perak.
“Komposisi kepimpinan kerajaan negeri telah ditentukan berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara beliau selaku Pengerusi PH Perak dengan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad malah pembahagian kuasa telah dipersetujui secara bersama.
“Ini termasuk peruntukan jawatan Menteri Besar dan Speaker kepada UMNO, serta pembahagian Exco berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi. DAP mendapat empat kerusi, PKR dua, AMANAH satu, manakala BN memperoleh tiga kerusi. Maka, tidak timbul soal dominasi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mujahid juga menafikan dakwaan Razman mengenai isu penjualan arak secara terbuka, yang seolah-olah menggambarkan kerajaan negeri merestuinya.
“Menteri Besar telah mengarahkan kajian lanjut mengenai kesan penjualan arak terbuka di premis majlis daerah tempatan, khususnya di bawah seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Jadi, di mana keputusan ini ditentukan oleh DAP?” soal Mujahid.
Beliau menyeru rakyat Perak agar tidak terpedaya dengan fitnah dan dakyah politik perkauman yang dimainkan oleh PAS terutamanya pemimpin seperti Razman dan mengalihkan sokongan kepada kestabilan yang telah dibina oleh Kerajaan Perpaduan.
“Saya menyeru rakyat Perak menolak kerusi-kerusi PAS dan memberi peluang kepada calon Melayu dari PH dan BN untuk mengukuhkan kestabilan politik negeri ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette
kini ada kaedah dan naratif baru. asal sebut aja perjuangan dan kepentingan bangsa dan agama, maka itu adalah perkauman. jika pihak lain, itu hak minoriti dan kebebasan bersuara. akibat normalisasi watak si buang. rupanya p ramlee sudah lama faham dan buat filem sarjan hassan…