ALOR SETAR – Polis Kedah telah mengesan satu taktik penipuan terbaharu yang menggunakan ‘notis kehadiran suspek adalah wajib’ untuk memperdaya mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, notis tersebut dihantar melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Polis Kedah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) untuk memberi gambaran seolah-olah sahih.
“Isi kandungan notis tersebut mendakwa mangsa terlibat dalam kes penyeludupan dadah dan penggelapan wang.
“Mangsa diberi amaran bahawa tindakan akan diambil jika tidak memberi kerjasama dalam masa dua jam termasuk kemungkinan waran tangkap dan tahanan reman selama 45 hari.
“Notis itu juga menyatakan bahawa akaun bank mangsa akan dibekukan dan mereka tidak boleh mendedahkan kes tersebut kerana ia melibatkan Akta Rahsia Rasmi,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah Yew Lik, notis tersebut bukan dikeluarkan oleh pihak IPK Kedah dan merupakan salah satu modus operandi penipuan yang sedang digunakan oleh sindiket scammer.
“Sehubungan itu, kita harap orang ramai tidak terpedaya dengan taktik penipuan sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette