KUALA LUMPUR – Tidak sempat periksa tayar. Itu antara alasan diberikan pemandu bas yang dikenakan notis kesalahan membabitkan tayar.
Kesalahan itu dikenal pasti dalam Op Tahun Baharu Cina 2025 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sehingga malam tadi agensi penguatkuasa jalan raya itu telah memeriksa sebanyak 6,605 bas di 54 depo dan 28 terminal utama di seluruh negara.
Operasi yang bermula sejak 20 Januari hingga 8 Februari ini bagi memastikan pengusaha dan pemandu bas mematuhi peraturan serta menjamin keselamatan penumpang sepanjang musim perayaan.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, sebanyak 635 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sejak Op TBC dilaksanakan.
Katanya, kesalahan paling banyak direkodkan adalah notis P22 sebanyak 410 kes; larangan penggunaan kenderaan (98); arahan pemeriksaan kenderaan (90); permintaan butiran pemandu (16); kesalahan permit APAD (10); temu siasat (8); penahanan kenderaan (2) dan 1 kes berkaitan lesen.
“Selain itu, kesalahan teknikal juga menjadi penyumbang terbesar dengan sebanyak 120 kes dicatatkan dan kebanyakannya melibatkan tayar.
“Ramai pemandu memberi alasan tidak sempat untuk periksa tetapi ia bukan sahaja tanggungjawab pemandu tetapi juga pengusaha bas untuk memastikan perjalanan akan berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Operasi Khas dan Kempen Keselamatan Tahun Baharu Cina 2025 bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), malam tadi.
Menurut Aedy Fadly, terdapat juga kesalahan lain berkaitan pengangkutan awam iaitu sebanyak 92 kes, kesalahan utama (57); pelaksanaan pemandu (51); pelaksanaan kenderaan (42) dan 48 kesalahan melibatkan kes lain-lain.
AADK turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 420 orang pemandu bas dan enam daripada mereka didapati positif dadah jenis amphetamine (ATS) dan opioid.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan & Keselamatan AADK, Azmi Mustafa berkata, alasan yang diberikan adalah penambahan perjalanan dan mengelakkan rasa keletihan.
“Ini adalah cara untuk mereka stimuluskan diri untuk menambahkan tenaga,” katanya.
Aedy Fadly menegaskan, pengusaha bas perlu memastikan semua pemandu bebas daripada penyalahgunaan dadah sebelum dibenarkan beroperasi.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya melakukan pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan dan mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan diri serta penumpang lain. – MalaysiaGazette