KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam sekeras-kerasnya serangan terkini rejim Israel ke atas bandar Jenin di Tebing Barat, yang berlaku hanya beberapa hari selepas gencatan senjata di Gaza.
Setiausaha Agung PUM, Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor menyifatkan tindakan itu sebagai bukti bahawa rejim Zionis tidak ikhlas dalam mencapai perdamaian yang berkekalan.
“Serangan tersebut bukan sahaja mencetuskan provokasi tetapi menujukkan usaha berterusan Israel untuk menguasai wilayah Palestin demi projek ‘Israel Raya’.
“Tindakan itu merupakan satu bentuk penjajahan dan penindasan yang mesti ditentang.
“Projek Zionis ini adalah punca utama yang mencetuskan konflik berpanjangan di Palestin dan rantau sekitarnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau turut mengutarakan kemungkinan serangan dilakukan untuk mengalihkan perhatian dunia daripada isu yang belum selesai di Gaza sebagai strategi menekan dan melemahkan rakyat Palestin.
“Sehubungan dengan itu, kami menyeru negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel.
“Masyarakat dunia juga boleh terus memberikan tekanan kepada Amerika Syarikat untuk berhenti menyokong Israel, yang dianggap sebagai salah satu sebab utama konflik ini berterusan,” tambahnya.
Mohd Roslan turut meminta penyelesaian yang adil dan menyeluruh perlulah diambil supaya hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib dan menubuhkan negara merdeka terbela. – MalaysiaGazette