KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memaklumkan kepada beliau tidak akan dapat hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA hari ini.
Kata Ka Siong, Anwar ketika ini berada di Ipoh, Perak.
“Seperti lazimnya, kita sudah hantar jemputan rasmi dan tiga hari lalu saya secara peribadi sudah menghantar mesej kepada beliau, namun saya difahamkan beliau tidak berada di Kuala Lumpur sebaliknya di Ipoh.
“Sebelum ini sudah dua kali sejak menjadi Perdana Menteri, beliau hadir ke Rumah Terbuka MCA,” katanya kepada media ketika ditemui pada sambutan Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bersama barisan pimpinan lain Barisan Nasional (BN) ke rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA pagi ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN kelihatan ceria dan segak berbaju batik tiba sekitar 9.30 pagi, meluangkan masa lebih satu jam bersama pimpinan MCA yang lain.
Sejurus tiba, beliau bersama barisan kepimpinan MCA mengambil bahagian dalam acara tradisi menggaul ‘yee sang’, yang melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan bagi masyarakat Cina.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, serta Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing. -MalaysiaGazette