Para penganut dilihat di lokasi insiden rempuhan di Prayagraj pada 29 Januari 2025. Foto : AFP

PRAYAGRAJ – Beberapa individu dikhuatiri maut dalam insiden rempuhan di Maha Kumbh Mela, perhimpunan keagamaan terbesar di dunia yang berlangsung di India, awal pagi hari ini.

Kejadian ini berlaku apabila penghadang rosak di tengah-tengah jutaan penganut Hindu yang berkumpul untuk mandi suci di sungai sempena salah satu hari paling suci dalam festival itu.

Pegawai eksekutif khas festival, Akanksha Rana berkata ada mangsa yang cedera dan dikejarkan ke hospital tetapi jumlah mangsa korban sebenar masih belum disahkan lagi.

Salah seorang saksi di tempat kejadian dilaporkan melihat beberapa mayat di tebing sungai dan ada rakaman video menunjukkan ambulans bergegas ke lokasi kejadian serta anggota keselamatan membantu mangsa dalam keadaan huru-hara, di mana barangan peribadi milik pengunjung bertaburan di tanah.

“Kejadian itu berlaku dalam jam 1.30 pagi di mana tiba-tiba bilangan orang semakin ramai dan kami terperangkap.

“Seterusnya, mereka mula menolak satu sama lain dan kami terjatuh,” katanya kepada media tempatan.

Tragedi ini berlaku ketika lebih 100 juta penganut Hindu dijangka mengunjungi lokasi tersebut di negeri Uttar Pradesh untuk mandi di Triveni Sangam, iaitu pertemuan tiga sungai suci, Ganges, Yamuna dan Saraswati.

Perbuatan itu merupakan sebahagian daripada ibadah penyucian diri dan pencarian pembebasan spiritual.

Maha Kumbh Mela yang berlangsung selama enam minggu itu merupakan perhimpunan aman terbesar di dunia dengan kehadiran dijangka mencecah 400 juta orang sepanjang festival. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here