KUALA LUMPUR – Kegembiraan untuk menyambut Tahun Baharu Cina bertukar tragedi apabila kediaman dihuni empat sekeluarga di Taman Mas, Cheras musnah terbakar awal pagi tadi.
Kesemua mangsa berusia 46 hingga 81 tahun yang terperangkap dalam rumah terbakar itu berjaya dikeluarkan selepas diselamatkan pasukan bomba dan mengalami sesak nafas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Muhklis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 2.40 pagi.
“Setibanya anggota di lokasi mendapati, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres setingkat musnah terbakar 20 peratus serta sebuah motosikal Yamah, diparkir di hadapan rumah dengan kebakaran berjaya dikala dalam tempoh 20 minit.
“Terdapat sepasang warga emas berjaya diselamatkan bomba dan mengalami sesak serta diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, seramai 12 pegawai serta anggota terlibat dalam operasi itu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dan Ampang bersama dua jentera.
Beliau juga memaklumkan, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette