GEORGE TOWN – Taman Kejiranan Lengkok Nipah di sini, bakal mencipta sejarah susulan menjadi taman mesra usia pertama di Pulau Pinang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, taman yang merangkumi hampir satu ekar tanah yang menelan kos RM700,000 dijangka siap pada 5 September depan.
“Ini adalah sebahagian daripada misi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Bandar Mesra Usia.
“Seiring dengan proses penuaan, mewujudkan persekitaran inklusif semakin penting, terutamanya untuk warga emas yang sering menghadapi masalah mobiliti, kekurangan infrastruktur mesra usia dan kesukaran mengakses perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek tersebut.
Tambah Rajendran, reka bentuk taman mesra usia itu juga bertujuan menggalakkan penduduk yang lebih tua supaya lebih aktif dalam aktiviti rekreasi dan menjalani gaya hidup yang lebih sihat.
“Pembangunan ini menekankan komitmen MBPP untuk mewujudkan ruang awam yang inklusif yang menggalakkan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin memuji transformasi kawasan tersebut yang sebelum ini terbiar dan menjadi tempat letak kereta akibat kekurangan penyelenggaraan.
“Kita mengutamakan keperluan 50,000 penduduk di kawasan ini yang sebelum ini tidak mempunyai taman kejiranan yang khusus untuk rekreasi. Projek ini adalah untuk manfaat komuniti yang lebih besar.
“Kita percaya apabila Taman Kejiranan Lengkok Nipah ini siap, ia dapat memenuhi keperluan ruang rekreasi yang lebih mesra semua golongan, terutamanya warga emas, sambil menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuhkan hubungan antara komuniti,” katanya.
Untuk rekod, Taman Kejiranan Lengkok Nipah ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang direka khas untuk memenuhi keperluan semua penduduk, terutamanya warga emas.
Antara kemudahan yang akan disediakan termasuklah laluan pejalan kaki, alat permainan kanak-kanak, stesen senaman, pentas, plaza, amfiteater, pernyataan pintu taman, bangku konkrit, tempat duduk mesra OKU, laluan pejalan kaki mesra OKU, penghadang motosikal, bollard konkrit, lampu taman, serta penanaman pokok bagi meningkatkan kehijauan kawasan. – MalaysiaGazette