KUALA LUMPUR- Seorang remaja lelaki maut, tujuh terselamat manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di Miri, Sarawak, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan pada 2.58 pagi, dan setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan.
“Dua jentera dengan kekuatan 15 anggota telah diatur gerak ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.
“Lokasi kejadian adalah Lot 287 A, Lot 287 B, Kampung Lereng Bukit dan pasukan dimaklumkan terdapat tujuh mangsa terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan terkini, JBPM Sarawak memaklumkan, mayat remaja lelaki berusia 17 tahun itu ditemukan kira-kira 6.17 pagi di bawah runtuhan salah satu daripada dua rumah yang roboh akibat bencana tersebut.
Katanya, usaha kini tertumpu kepada pencarian empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam insiden berkenaan yang terdiri daripada seorang warga emas wanita berusia 71 tahun, seorang wanita berusia 41 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan 12 tahun.- MalaysiaGazette