KUALA LUMPUR – Kerjasama Malaysia dan kerajaan Jepun untuk membantu pembangunan semula Gaza dan Palestin adalah satu pengumuman yang sangat positif biar pun tidak sampai dua minggu genjatan senjata dilaksanakan.
Pakar Geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan berkata, ia satu tindakan proaktif dan strategi memerangkap pemimpin Barat terutama negara G7 seperti Rusia yang sebelum ini banyak menumpukan pembangunan di Ukraine.
“Tindakan Jepun mengundang Malaysia dilihat sebagai satu strategi proaktif yang luar biasa dalam pembangunan semula Gaza memandangkan banyak pihak menganggap pengumuman itu datang pada waktu yang sensitif, ketika Gaza masih dalam fasa genjatan senjata ketiga yang memang sukar untuk diterima.
“Sebelum ini, pemimpin Barat hanya sibuk dengan usaha mereka untuk membina semula Ukraine yang sebahagian besar pembiayaannya datang dari dana luar negara termasuk dari Rusia namun tidak pernah mengendahkan pembangunan semula Gaza terutama negara G7,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Tambah Azmi, walaupun Malaysia sebuah negara kecil namun mampu menjadi pengerusi bersama dalam Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
“Jepun memberi kepercayaan kepada negara ini dan mempelawa menjadi pengerusi bersama kerana Malaysia lantang dalam memperjuangkan hak Gaza dan berusaha mencari penyelesaian yang lebih luas secara keseluruhan.
“Walaupun sebuah negara kecil, Malaysia memainkan peranan penting dalam mempengaruhi negara-negara Islam dan negara-negara di Asia Timur, ia adalah sesuatu yang dihargai oleh Jepun,” ujarnya.
Terdahulu, Malaysia dan Jepun akan menubuhkan dana melalui kegiatan Asia Timur bagi program pembangunan semula Gaza dan Palestin susulan gencatan senjata yang telah dicapai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, ia selepas kerajaan Malaysia mendapat maklum balas daripada Jepun.
“Kerajaan dan Menteri Luar Negeri telah mendapat kepastian segerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama kerajaan Jepun serta Malaysia.
“Bagi pihak kita, dengan usaha ini bersama rakyat dan kolaborasi sektor swasta, insya-Allah kita akan mulakan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan sebuah masjid sebagai suatu usaha kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata, pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih US$1 trilion.
Beliau berkata, jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah.
Ujarnya, Jepun mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama dalam Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang memfokuskan pada pembangunan semula Gaza. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: