KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap lebih ramai pelancong dari China akan mengunjungi negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, statistik semasa menunjukkan Malaysia menerima 3.8 juta pelancong dari China, setakat ini.
Menurut Zahid, di pihak kerajaan, pelbagai usaha dilakukan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala termasuk mengadakan lawatan rasmi serta merancakkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Semoga ini akan terus merangsang ekonomi antara kedua-dua negara, kita juga harap hubungan persahabatan ini terus mekar terutamanya dalam seni kebudayaan, peradaban masing-masing,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA hari ini.
Tambah Zahid, sambutan Tahun Baru Cina kali ini lebih bermakna lagi-lagi dengan hubungan erat yang terbina antara Malaysia dan China selama lebih 50 tahun ini.
Malah secara simbolik ertı persahabatan ini menjadi lebih bermakna apabila sambutan Tahun Baru Cina telah dimulakan dengan persembahan formasi lebih 1,000 dron dari China menyinari langit di sekitar Menara Berkembar KLCC baru-baru ini
Melahirkan harapan tinggi hubungan diplomatik dan persahabatan ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, persembahan dron itu bukan sesuatu yang biasa sebaliknya komitmen dan pengukuhan satu persahabatan erat.
“Persembahan ini mencerminkan hubungan yang kukuh antara Malaysia dan China, bukan sekadar hubungan antara kerajaan (G2G), tetapi juga melibatkan rakyat dan sektor perniagaan.
“Ini juga memperlihatkan betapa pentingnya hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 50 tahun.
”Ia bukan sahaja berlandaskan hubungan kerajaan dengan kerajaan, tetapi juga kerjasama dalam perniagaan dan antara rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette