Pengerusi Persatuan Pembangunan Bersatu Malaysia (MAYDA), Sazarul Zakry Datuk Seri Zainal Abidin (tengah) hadir ke ke Pusat Jagaan Warga Tua SRA di Taman Malawati, Kuala Selangor. Foto HARI ANGGARA, 30 JANUARI 2025.

KUALA SELANGOR – Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib bakal menimpa 34 warga emas dan uzur yang diabaikan ahli keluarga berdepan risiko diusir pemilik rumah akibat kekurangan dana untuk membiayai operasi Pusat Jagaan Orang Tua SRA, di sini.

Pengasasnya, Sharil Hussein, 43, berkata, lebih malang pihaknya hanya diberi tempoh lima bulan sahaja atau pada Mei ini untuk mengosongkan sebuah rumah banglo yang disewanya di Taman Melawati, di sini, sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, kekangan kewangan itu berlaku selepas Lembaga Zakat Selangor memotong peruntukan 27 penghuninya yang berdaftar kepada RM800 sebulan berbanding RM1,850 sebelumnya.

Peruntukan itu adaah bagi membiayai kos makanan, penginapan dan pengurusan di pusat jagaan berkenaan.

“Sejak 2021 hingga kini, setiap bulan kami menerima keseluruhan bantuan daripada LZS sebanyak RM16,500 namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung kos operasi pusat ini yang menelan belanja antara RM45,000 hingga RM50,000 sebulan.

“Ia merangkumi kos gaji petugas, makan, minum, air, elektrik dan sebagainya. Kami mula terkesan dengan masalah kewangan ini sejak tahun lalu (2024) di mana pada Jun lalu saya tidak mampu meneruskan pusat jagaan ini.

Pengasas Pusat Jagaan Warga Tua SRA, Sharil Hussein bercakap ketika sidang media di Pusat Jagaan Warga Tua SRA di Taman Malawati, Kuala Selangor. Foto HARI ANGGARA, 30 JANUARI 2025.

“Walau saya berniat untuk menutup pusat jagaan ini, tapi bila saya mengenangkan balik mak ayah dalam pusat jagaan ini, saya rasa perlu bertahan sehingga ke hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu Presiden Persatuan Pembangunan Bersatu Malaysia (MYDA), Sazarul Zakry Zainal Abidin mengadakan lawatan dan menyantuni penghuni Pusat Jagaan Warga Tua SRA di Taman Malawati, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Sharil merupakan bekas seorang penjawat awam dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengasaskan Pusat Jagaan Warga Tua SRA dengan pembiayaan sendiri beroperasi pada 1 Januari 2020.

Pada awal penubuhan, seramai 10 penghuni berjaya “diselamatkan” daripada hospital di seluruh negara dan ketika itu pusat jagaan itu beroperasi di Taman Desiran, Malawati, di sini, kira-kira selama tiga bulan.

Antara penghuni pusat jagaan di Pusat Jagaan Warga Tua SRA di Taman Malawati, Kuala Selangor. Foto HARI ANGGARA, 30 JANUARI 2025.

Menurut Sharil, kesemua 34 penghuni pusat jagaan itu “diselamatkan” susulan timbul isu lambakan warga emas yang terabai dan “dibuang” ahli keluarga di hospital-hospital kerajaan dari seluruh negara.

“Lambakan ini berpunca daripada warga emas yang ditinggalkan oleh anak-anak di hospital tanpa dituntut ahli keluarga.

“Lebih menyedihkan apabila berlaku kematian melibatkan penghuni pusat jagaan ini mengambil masa lama,” katanya.

Keadaan luaran di Pusat Jagaan Warga Tua SRA di Taman Malawati, Kuala Selangor. Foto HARI ANGGARA, 30 JANUARI 2025.

Selain itu, katanya, kewangan pusat jagaan itu semakin terbeban apabila kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,500 pada 1 Mei 2022.

“Pada 2020, kita hanya memberikan elaun kepada petugas-petugas pusat jagaan, antara RM800 hingga RM1,200.

“Apabila sumber kewangan peribadi habis digunakan sehingga Jun 2024, ia menjadi bebanan kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, Sharil berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi sesuai dan bercadangkan memindahkan kesemua 37 penghuni sedia ada sekiranya mendapat bantuan kewangan yang mencukupi.

“Kita ada beberapa tempat dikenal pasti untuk menjadi pusat jagaan kami, termasuk Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah di Kuala Selangor, jika dizinkan, kami akan bertapak di sana.

“Selain itu, dua lagi lokasi lain termasuk premis kedai di Taman Peninsular Utama, Pasir Penambang dan rumah teres tiga tingkat di Taman Gaya Merak di Assam Jawa, Kuala Selangor,” katanya.

Antara penghuni pusat jagaan di Pusat Jagaan Warga Tua SRA di Taman Malawati, Kuala Selangor. Foto HARI ANGGARA, 30 JANUARI 2025.

Ketika ditanya usaha pihaknya mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor, Sharil berkata, beliau ada menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada awal tahun 2021 dan pertengahan 2023.

“Walaupun surat permohonan dihantar sejak tiga tahun lalu, namun sehingga kini pihak saya tidak menerima sebarang jawapan mengenai pembiayaan kewangan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here