Ahmad Zahid Hamidi

BAGAN DATUK – Semua aset bantuan bencana peringkat Persekutuan dan negeri telah dikoordinasikan ke 13 lokasi terjejas banjir di Sarawak yang setakat tengah hari tadi melibatkan lebih 6,700 mangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini, lebih 50 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir di negeri itu.

Beliau berkata. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan mengadakan koordinasi dengan pihak terlibat termasuk Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti lebih banyak dewan sekolah dan dewan orang ramai di kawasan tinggi yang sesuai dijadikan PPS.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pihaknya akan meneliti keperluan pembinaan jambatan Bailey di kawasan perhubungan yang terjejas.

“Kita telah berbincang dengan Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia untuk persediaan (pembinaan jambatan) tersebut,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke tapak pembinaan projek Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata,  sistem amaran awal juga telah diaktifkan bagi memberikan amaran sekurang-kurangnya tiga hari sebelum kejadian air pasang besar bagi memudahkan proses pemindahan dan penduduk menyelamatkan dokumen serta barang-barang penting.

Mengenai banjir itu, beliau berkata difahamkan sebanyak 13 stesen meteorologi merekodkan jumlah purata hujan melebihi 20 milimeter (mm) harian.

“Saya ingin mengingatkan bahawa musim Monsun Timur Laut ini akan berlanjutan hingga hujung Mac dan kita harap semua pihak terutama yang berada di kawasan berisiko berwaspada dan bersiap sedia,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here