JOHOR BAHRU – Sebanyak 24 buah motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Syaban, Kampung Bendahara di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penguasa Bomba Kanan II Muhamad Syahhir Ikhwan Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.56 pagi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ditempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah bengkel berkeluasan 25x35x12 kaki persegi telah terbakar 80 peratus.
“Turut terbakar 24 buah motosikal yang berada dalam bengkel tersebut.
“PKO bertindak memadamkan kebakaran menggunakan aliran dan pancutan air dari pam jentera dan sumber pili bomba sehingga selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, insiden berkenaan tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana tiada mangsa dalam kejadian itu.
Tambahnya, operasi pemadaman membabitkan 20 anggota dari BBP Tebrau dengan bantuan BBP Johor Jaya itu tamat pada pukul 5.30 pagi.- MalaysiaGazette