KUALA LUMPUR – Kenyataan Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming yang menggelarkan Ketua Pergerakan UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sebagai ‘lalat’ adalah satu penghinaan.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau rasa tersinggung dengan gelaran ‘lalat’ berkenaan biarpun sudah tidak menjadi ahli parti berkenaan.
“Cubit peha kiri, peha kanan turut terasa.
“Apabila Tun M mengulas perkara itu, tak perlu kita marahkan Tun. Itu tandanya Tun turut terasa. Tun tidak mahu kita dihina sedemikian oleh ‘singa-singa jadian’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu merujuk kenyataan Kor Ming yang melabelkan Akmal sebagai ‘lalat’ ketika Naib Pengerusi DAP itu mengambil pendirian enggan melayan cabaran Akmal untuk berdebat berhubung isu kontroversi ‘sandwic ham’.
Kor Ming yang meletakkan dirinya sebagai singa berasakan tidak layak untuk berdebat dengan Akmal yang dianggap sebagai ‘lalat’.
Berikutan itu, Mahathir juga mengeluarkan kenyataan menyifatkan kedudukan wakil rakyat UMNO dalam kerajaan hanya ‘lalat’.
Bekas perdana menteri itu menggunakan perumpanaan tersebut sebagai memetik pandangan Kor Ming terhadap Akmal baru-baru ini.
“Yang berhormat ahli UMNO, mengikut Nga Kor Ming, UMNO hanya lalat. Nga Kor Ming adalah singa.
“Sebab takut singa, UMNO terima jadi lalat. Inilah UMNO sekarang. Tidak lebih dari lalat dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, kenyataan Kor Ming bahawa parti itu ‘singa’ disebabkan UMNO yang menjadikan DAP kelihatan seperti ‘singa’.
“Mereka (pemimpin DAP) terasa besar kerana UMNO menjadikan mereka ‘besar’. Janganlah sombong sangat, UMNO boleh menjadikan mereka ‘kucing hutan’ kalau UMNO mau.
“Kita percaya kesabaran itu ada batasnya, kita bersimpati dengan Dr Akmal. Beliau cuba mengaum, tapi suaranya tidak cukup menakutkan sesiapa. Ngaumannya kedengaran umpama suara lalat sahaja dan tidak dipedulikan.
“Akan tiba masanya, singa bakal terhegeh-hegeh tanpa taring dan kuku, saat itu ngauman singa hanyalah suara kucing hutan yang tidak di pedulikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette