SEPULUH tahun lalu, dunia dikejutkan dengan tragedi yang mengorbankan jiwa akibat penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui penerbitan karikatur dan kartun yang diterbitkan oleh majalah Charlie Hebdo. Kejadian ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, tetapi juga memperlihatkan ketegangan antara kebebasan bersuara, sensitiviti agama, dan ancaman keganasan ekstremis.
Pada Januari 2015, Charlie Hebdo menerbitkan kartun yang dianggap menghina Nabi Muhammad SAW dan disebarkan dengan sengaja di media. Ia telah menimbulkan
kontroversi hebat kerana sebahagian besar umat Islam percaya bahawa segala bentuk usaha mengambarkan imej Nabi adalah penghinaan yang tidak boleh diterima.
Namun demikian, terdapat sebahagian yang mempertahankan kebebasan bersuara dengan menyatakan kebebasan media dan hak untuk mengkritik adalah hak
asasi yang perlu dijaga, walaupun ia mungkin menyinggung perasaan agama tertentu.
Serangan terjadi apabila dua lelaki bersenjata menyerang pejabat Charlie Hebdo, membunuh 12 orang termasuk kakitangan majalah dan anggota polis, mencetuskan
satu perdebatan global mengenai batas antara kebebasan ekspresi dan penghormatan terhadap agama. Tindakan yang dilakukan oleh pengganas yang mendakwa mereka cuba mempertahankan kehormatan Nabi Muhammad SAW itu menunjukkan betapa ekstremisme keganasan boleh muncul akibat ketidaksefahaman yang mendalam mengenai kebebasan bersuara.
Sadisnya, Charlie Hebdo sekali lagi dengan berani menerbitkan edisi khas Januari 2025 dengan mempersembahkan 40 karya terpilih daripada 350 penyertaan dalam
pertandingan yang dianjurkan. Syarat penting pertandingan tersebut adalah menghasilkan kartun dan karikatur yang mempersenda agama dan Tuhan.
Edisi khas tersebut akan mula dijual secara meluas serentak dengan acara memperingati peristiwa yang berlaku pada 10 tahun yang lalu. Hakikatnya, dalam tempoh satu dekad ini, pelbagai kejadian telah berlaku disebabkan kononnya memperjuangkan hak kebebasan bersuara dari dua pihak yang saling bertentangan.
Pihak pertama menggunakan kebebasan untuk mengekspresi diri dalam pelbagai medium tanpa mengambil kira sensitiviti agama. Manakala pihak kedua menjadikan pengabdian kepada agama sebagai sebab untuk bebas bertindak tanpa menghiraukan ajaran agama yang amat menitikberatkan persoalan nyawa.
Ketegangan yang wujud di antara dua pihak ini tidak menghasilkan sebarang keuntungan kerana dunia terpaksa menanggung ke atas tindakan mereka yang sebenarnya hanya mementingkan kepentingan peribadi mereka. Walaupun demikian, persoalan yang penting untuk difikirkan adalah siapa sebenarnya yang menentukan sempadan kebebasan hak bersuara?
Seperti mana yang ditegaskan oleh Prof Khaled Bydoun dalam memperjuangkan hak Palestin, beliau berkata: “Gaza telah membunuh mitos demokrasi Barat dan hak asasi manusia”. Lalu, mengapa masih ramai yang memperjuangkan hak kebebasan ala Barat yang jelasnya bertentangan dengan apa yang digariskan dalam agama?
Islam menggalakkan konsep wasatiyyah, iaitu keseimbangan, supaya tidak terlalu longgar atau ekstrem dalam melaksanakan apa-apa tindakan. Prinsip ini turut selaras dengan konsep universal yang menekankan agar tidak keterlaluan atau melampau dalam setiap aspek kehidupan, sama ada dari sudut agama, sosial, mahupun ekonomi.
Walaupun kebebasan bersuara adalah asas dalam banyak sistem demokrasi, ia juga perlu disertai dengan kesedaran dan penghormatan terhadap hak dan kepercayaan
orang lain tanpa melanggar prinsip kebebasan yang sebenar. Perkara yang sama juga terjadi dalam kalangan pengguna media sosial yang galak menggunakan kebebasan bersuara sambil mengetik papan kekunci mereka dengan tujuan untuk mempersenda serta mengkritik agama.
Keadaan ini menjadi lebih menyedihkan apabila ia dilakukan oleh individu beragama Islam, yang menjadikan kebebasan mutlak sebagai prinsip hidup tanpa mengambil kira batasan agama dan moral. Kebebasan bersuara sebenar yang mengikut neraca Islam mestilah disertai dengan tujuan untuk menyampaikan kebenaran dan mengajak kepada kebaikan.
Ia jauh sekali dengan agenda menyebarkan keburukan, hasutan, fitnah, dan apa sahaja yang mengancam perpaduan masyarakat. Hamka pernah berkata, ““Bila terjadi peperangan di antara akal dan hawa nafsu, akal mempertahankan barang yang pahit tetapi manis akibatnya; nafsu mempertahankan barang yang manis tetapi pahit bekasnya”.
Begitulah dalam menyentuh isu sensitiviti agama, jadikan kepahitan sebagai sempadan supaya tidak melampaui batas dalam menyampaikan suara, tanpa menjadikan nafsu sebagai pemandu dalam apa sahaja tindakan, lisan dan tulisan.
Dr. Nur Saadah Khair
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)