GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di Seberang Perai dalam usaha meningkatkan lagi keselamatan rakyat dan pelancong di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini terdapat lebih 1,000 CCTV di bahagian Pulau, manakala di Seberang Perai hanya sekitar 200 CCTV.
“Kami merancang untuk menambah sebanyak 800 CCTV lagi di Seberang Perai dalam tempoh setahun dua ini.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memantau serta menangani kegiatan jenayah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Pulau Pinang di SPICE Arena di sini, hari ini.
Tambah Kon Yeow, meskipun menghadapi beberapa kekangan dari segi sumber dan kemampuan namun kerajaan negeri tetap komited untuk meningkatkan keselamatan dan memastikan masyarakat di negeri ini dapat hidup dalam persekitaran yang selamat.
Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan Pulau Pinang disenaraikan sebagai negeri paling selamat mengikut Crime Indeks 2025, Kon Yeow berkata, kadar jenayah di negeri ini berada dalam keadaan terkawal dan pelancong yang datang ke negeri ini dapat merasa selamat serta yakin dengan tahap keselamatan disediakan.
“Bagaimanapun, jenayah membabitkan dadah masih merunsingkan susulan Pulau Pinang dilihat menjadi pusat pengedaran untuk negeri di Utara menerusi jalan darat serta laut dan pihak polis sentiasa berusaha untuk mengatasi isu ini,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 10,000 masyarakat berbilang kaum datang dari seluruh pelusuk negeri memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Pulau Pinang.
Selain rakyat Pulau Pinang, pelancong asing juga dilihat tidak ketinggalan hadir bagi merasai sendiri kemeriahan suasana sambutan, di samping menikmati pelbagai juadah makanan Melayu, Cina dan India yang disediakan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor. – MalaysiaGazette