Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) menyambut baik komitmen Malaysia untuk membangunkan semula Gaza dan Palestin seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, inisiatif tersebut sebagai langkah strategik dan amat diperlukan Gaza dalam membina semula infrastruktur asas yang telah musnah akibat serangan berterusan oleh rejim Israel.

Katanya, keprihatinan Malaysia dalam membantu rakyat Palestin amat dihargai dan selari dengan usaha kemanusiaan yang selama ini diperjuangkannya.

“Sebagai sebuah badan yang aktif dalam misi bantuan kemanusiaan di Palestin, Mapim bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan ini dapat berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat Gaza,” katanya kepada MalasiaGazette.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.

Beliau berkata, pembinaan semula itu akan dijalankan melalui kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.

Anwar berkata, usaha pembangunan semula Gaza ini juga melibatkan kerjasama antara Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

Mengulas lanjut Mohd Azmi berkata, Mapim juga  telah melancarkan kempen untuk menyediakan 5,000 khemah bagi penduduk Gaza sebelum menjelangnya Ramadan akan datang.

Jelas beliau, kempen berkenaan bertujuan untuk memberikan tempat tinggal sementara kepada mereka yang kehilangan rumah akibat keganasan Israel yang berterusan.

“Pergerakkan lebih sejuta penduduk Gaza dari daerah Khan Yanis di selatan ke Beit Hanon, Jabalya, Nuseirat di utara Gaza. Kita berharap kediaman mereka yang telah hancur dibangunkan semula sedikit demi sedikit,” ujarnya.

Berdasarkan maklumat pejabat media kerajaan di Gaza, warga wilayah itu memerlukan 135,000 khemah dan karavan  kerana kemusnahan kediaman oleh serangan tentera penjajah Israel selama 471 hari yang telah  mencecah 90 peratus.

Gaza menyeru seluruh pertubuhan antarabangsa dan negara Arab untuk segera menyalurkan bantuan kemanusian kepada mereka.

Mapim dan Pertubuhan Al-Khair Malaysia mengambil inisiatif menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong usaha tesebut dengan menyalurkan sumbangan melalui saluran rasmi mereka.

“Kami merayu agar rakyat Malaysia bersama-sama menyokong usaha murni ini dan menunjukkan solidariti yang konkrit terhadap penderitaan yang dialami oleh penduduk Gaza.

“Mapimj uga menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan dalam bentuk sumbangan dan doa bagi memastikan rakyat Palestin mendapat kehidupan yang lebih baik dan bermaruah,” kata Mohd Azmi lagi. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Malaysia, Jepun tubuh dana untuk bangunkan semula Gaza

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here