KUALA LUMPUR – Seorang wanita Singapura telah mencetuskan perdebatan ramai selepas menegur sikap sebilangan penduduk negara tersebut yang tidak mahu mandi sebelum menaiki pengangkutan awam pada waktu pagi.
Pengguna berkenaan, Steph Leong dalam hantarannya di laman sosial TikTok meminta golongan lelaki milenial dan generasi Z terutamanya untuk mandi kerana bau badan yang tidak enak.
“Saya tidak tahan dengan bau tidak enak seperti bau cadar yang tidak dibasuh selama sebulan dan dipenuhi dengan peluh.
“Mandi adalah rutin asas yang boleh dilakukan sebelum keluar bergaul dengan orang ramai untuk sepanjang hari.
“Bayangkan sekiranya anda merupakan seorang pekerja dalam industri makanan dan minuman. Saya tidak akan mahu pergi ke situ,” katanya dalam video berkenaan.
Hantaran video itu telah tular dan menerima pelbagai reaksi masyarakat, ramai yang bersetuju tetapi ada juga yang tampil memberi justifikasi kerana mereka memilih untuk tidak mandi pada waktu pagi.
Salah seorang pengguna TikTok bernama Xinhui telah menjawab teguran wanita itu dengan berkata dia enggan mandi pagi kerana mahu tidur lebih lama.
“Sudahlah tidak cukup tidur, diminta pula bangun awal pagi untuk mandi. Semestinya tidak akan berlaku.
“Tolong berhenti minta kami mandi sebelum menaiki pengangkutan awam untuk pergi bekerja,” ujarnya.
Perdebatan itu telah mencetuskan satu slogan baru iaitu ‘Mandila Singapure’. – Agensi