PERMATANG PAUH – Pas Pulau Pinang menafikan dakwaan wujud pergolakan dalam Perikatan Nasional (PN) di negeri ini berhubung tampuk kepimpinan utama.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh parti komponen dalam PN mengenai isu kepimpinan, adalah sekadar cadangan dan bukannya satu masalah besar yang boleh menjejaskan kestabilan pakatan.
Jelasnya, cadangan kepimpinan dalam PN adalah sesuatu yang terbuka dan boleh dibincangkan antara parti-parti komponen.
“Pas tidak mahu isu ini dimainkan oleh musuh politik untuk mencipta salah faham dalam kalangan parti komponen PN.
“Kita yakin bahawa rakyat lebih memahami parti mana yang lebih dominan di negeri ini dan layak memimpin jentera PN dan sebarang usaha untuk mempertikaikan kepimpinan yang ada hanya akan merosakkan kepercayaan pengundi terhadap PN,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tambah Muhammad Fawwaz, semua parti dalam PN diharapkan menumpukan perhatian kepada tugas mereka untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat Pulau Pinang, serta mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang akan datang.
“Pas juga bertekad untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dan berusaha mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri pada pilihan raya seterusnya.
“Kita harap semua parti dalam PN saling menghormati antara satu sama lain dan tidak terpengaruh dengan permainan politik musuh yang mungkin berniat untuk mencetuskan perpecahan,” katanya. – MalaysiaGazette