SEBERANG PERAI – Dua lelaki dilaporkan kritikal selepas terdedah kepada bahan kimia semasa menjalankan kerja pemusnahan serangga di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Masing-masing berusia 50-an dimasukkan ke ICU, semalam selepas mengalami sesak nafas teruk akibat terhidu bahan kimia yang digunakan dalam kerja-kerja tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 5.07 petang tadi memaklumkan seorang lelaki mengalami sakit tekak dan sesak nafas selepas membuat rawatan ke atas pesakit di ICU hospital tersebut.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati pesakit itu terhidu bahan kimia ketika membuat kerja-kerja pemusnahan serangga.
“Susulan itu, seramai 22 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian dengan Pasukan Hazmat dari Kulim Hi-Tech.
“Tindakan awal kita buat size up serta asingkan mangsa dan pesakit ke bilik lain sebelum melakukan pemeriksaan tahap pencemaran udara menggunakan gas meter (GFG) di ICU dan wad berdekatan.
“Setakat ini, dua mangsa kritikal sedang menerima rawatan di ICU manakala seorang lagi mangsa berusia 29 tahun mengalami sakit tekak namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya hari ini.
Tambanya, pihak bomba juga kini sedang melakukan operasi bagi memastikan tiada lagi risiko pencemaran yang lebih besar di kawasan hospital tersebut. – MalaysiaGazette