TANGKAK – Seorang pengamal perubatan tradisional berputih mata apabila kerugian RM143,000 selepas diperdaya scammer yang menyamar sebagai polis.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, mangsa berusia 44 tahun membuat aduan selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwanya terbabit penipuan pelaburan saham.
“Suspek menghubungi dan memberitahu mahu membekukan akaun mangsa bagi tujuan audit dan kerana takut mangsa kemudian menurut arahan suspek dengan melakukan tiga transaksi pindahan ke akaun lain melalui aplikasi ‘mule account’.
“Mangsa mula menyedari ditipu suspek lalu membuat laporan polis semalam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Roslan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan agar tidak terpedaya dengan penipuan.- MalaysiaGazette