MELAKA – Polis Melaka memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang gadis yang didakwa lari dari rumah mengikut seorang rakan wanitanya berpewatakan lelaki sejak 6 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ibu kepada Siti Nurfatin Syuhada Shahrul Aizom, 22, membuat laporan polis pada jam 10.14 pagi, Ahad lalu.
Menurutnya, ibunya menyedari kehilangan iti Nurfatin Syuhada selepas diberitahu seorang lagi anaknya. Siti Nurfatin Syuhada telah keluar dari rumah mereka di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam.
“Pengadu yang ketika itu sedang bekerja kemudian menghantar pesanan WhatsApp bertanyakan perkara berkenaan kepada anak bongsunya itu.
“Bagaimanapun anaknya membalas dia keluar rumah kerana mahu membuktikan mampu hidup berdikari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Christopher, sehingga hari ini pengadu cuba menghubungi anaknya tetapi tiada sebarang respons sebelum hadir ke balai polis pada 26 Januari lalu.
Tambahnya, gadis berkulit cerah dan berketinggian 160 sentimeter itu, berambut pendek paras bahu.
Pengadu mendakwa sebelum ini Siti Nurfatin Syuhada pernah memaklumkan kepada keluarganya mahu bekerja di Kuala Lumpur.
“Pengadu mengesyaki anak gadisnya itu melarikan diri mengikut individu yang dikenali sebagai Farah.
“Pakaian terakhir yang dipakainya adalah baju-T lengan panjang berwarna hitam dan berseluar palazzo biru tua, bertudung warna hitam dan berkasut sukan berwarna putih,” tambahnya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Hairul Anuar Mohd Jaini di talian 018 3868234 untuk membantu siasatan.