Azam berucap pada Persidangan Antarabangsa Ke-3 Dalam Teknologi, Kemanusiaan dan Pengurusan (ICTHM) 2025, di Zikura International College, Maldives. Gambar: Facebook SPRM

KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki menegaskan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan blockchain perlu digunakan dalam membanteras rasuah selain dapat membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, kemahiran menggunakan teknologi itu amat penting dalam membanteras jenayah rasuah yang semakin kompleks.

Katanya, penipuan mata wang kripto dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan kegiatan jenayah semakin canggih dan sukar dijejak serta sering bersifat transnasional.

“Sebagai contoh, blockchain membolehkan rekod transaksi yang tidak boleh diubah, manakala penggunaan AI dapat mengesan corak penipuan dan ketidakteraturan kewangan selain penggunaan sistem e-pentadbiran yang boleh mengurangkan peluang berlakunya rasuah.

“Atas faktor ini, SPRM turut mengintegrasikan kemajuan teknologi ini di dalam operasi dan siasatan untuk terus berada terkehadapan dalam menghadapi taktik jenayah rasuah yang berkembang ini agar usaha memerangi rasuah kekal berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-3 Dalam Teknologi, Kemanusiaan dan Pengurusan (ICTHM) 2025, di Zikura International College, Maldives.

Menurut Azam lagi, Bahagian Forensik Teknologi  dan Bahagian Analisa Kewangan SPRM diletakkan berada di barisan hadapan inisiatif ini dengan kelengkapan dan kepakaran terkini untuk menjalankan forensik digital dan siasatan kewangan.

Malah, atas usaha tesebut kata beliaui, Makmal Forensik SPRM baru-baru ini menerima akreditasi ISO/IEC 17025:2017 yang mengesahkan pengiktirafan global terhadap kerja analisis forensik dalam bidang teknologi.

Katanya lagi, SPRM menyokong penggunaan platform digital dan tanpa tunai membabitkan sistem perolehan awam yang dilihat mampu menutup ruang berlakunya rasuah.

“Sistem seumpama itu akan memastikan subsidi, kebajikan dan gaji dipindahkan terus kepada golongan sasar tanpa perantara sekaligus mengurangkan kebarangkalian berlakunya rasuah.

“SPRM komited untuk terus memantau sektor-sektor utama seperti penguatkuasaan undang-undang, perolehan awam dan rasuah besar  sebagai salah satu agenda utama memerangi rasuah serta ketirisan.

“Komitmen ini sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) Malaysia yang bertujuan untuk mengukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti di pelbagai sektor,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here