KUALA LUMPUR – Padah mencuri kabel, tiga lelaki ditahan polis ketika cuba menyorok dan berselindung di kawasan Jalan Nilai Perdana 1, Nilai, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Abdul Malik Hasim berkata, kesemua suspek berusia 30-an hingga 40-an itu ditahan sekitar jam 3 pagi.
Katanya, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai yang sedang melakukan rondaan ke lokasi sebaik menerima maklumat ada kejadian mencuri kabel.
“Apabila URB tiba di lokasi, terdapat sebuah kereta dinaiki dua lelaki tempatan sedang bersembunyi di dalam kereta terbabit manakala seorang suspek bersembunyi di dalam kawasan semak.
“Hasil siasatan mendapati, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan narkotik malah saringan air kencing didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut merampas satu gulung kabel berwarna hitam, (2) alat pemotong kabel, (1) batang besi, (1) bilah sabit, (1) rangkai kunci dan sebuah kenderaan.
“Permohonan reman ke atas semua suspek dibuat di Mahkamah Seremban dan direman empat hari bermula hari ini hingga 2 Februari.
“Ia bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – MalaysiaGazette