Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bukan daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) seperti yang disalahertikan oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya, cadangan itu daripada Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC), kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat.

Oleh itu, mana-mana pihak tidak wajar menyalahkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) tanpa asas yang kukuh berhubung cadangan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB).

Menurut beliau  PTD adalah kumpulan yang sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar dengan profesional dan berintegriti demi kepentingan Negara.

Menerusi kenyataan di sini, Adnan berkata, CUEPACS menyokong langkah KKM untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji penjadualan waktu kerja dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Katanya, CUEPACS berharap jawatankuasa ini akan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan, termasuk wakil kesatuan sekerja dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan kesihatan.
Jelas beliau, sebarang perubahan dalam sistem waktu bekerja mestilah dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan perkhidmatan, kebajikan pekerja, dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Tambah CUEPACS, keputusan Jemaah Menteri untuk meneliti semula cadangan WBB ini adalah langkah yang tepat bagi memastikan sebarang perubahan yang dibuat adalah berlandaskan kajian yang menyeluruh dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pihak.

“Sehubungan itu, CUEPACS dengan tegas menyeru semua pihak agar tidak lagi membuat spekulasi atau menyalahkan mana-mana pihak secara tidak adil.

“Sebaliknya, semua tenaga harus difokuskan kepada usaha mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” kata Adnan.

Semalam, Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) membidas tuduhan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bahawa pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) hanyalah ‘sekumpulan yang melihat pada helaian Excel’ tanpa memahami realiti yang berlaku dalam sektor kesihatan.

Presiden PPTD, Datuk Awang Alik berkata, tuduhan itu yang dikaitkan dengan sistem WBB disifatkan sama sekali tiada asasnya, sekali gus tidak menggambarkan proses sebenar penggubalan dasar kerajaan.

Awang sebaliknya berkata, PTD sentiasa memainkan peranan yang profesional, berasaskan data serta mengambil kira realiti operasi dalam merangka dan melaksanakan dasar termasuk dalam sektor kesihatan.

“Tuduhan PTD gagal memahami cabaran sektor kesihatan bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan.

“Semua pihak perlu lebih memahami proses perumusan dasar sebelum membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.

Khairy melalui podkas ‘Keluar Sekejap’, mengaitkan kegagalan sistem WBB bagi petugas kesihatan dengan jurang pemahaman dalam kalangan birokrat di Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap realiti amalan perubatan.

Khairy dilaporkan mengkritik proses membuat keputusan, sambil menegaskan bahawa ia dilaksanakan oleh penjawat awam yang tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai operasi hospital. – MalaysiaGazette

Tuduhan Khairy terhadap PTD tidak berasas – PPTD

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here