KUALA LUMPUR – Pengarah filem, Datuk Afdlin Shauki menafikan dakwaan dia terlibat dalam salah laku perolehan projek naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Afdlin, 54, sebaliknya menjelaskan tuduhan tersebut adalah fitnah semata-mata yang didorong perasaan hasad dengki dalam cubaan mencalarkan nama baiknya.
“Pertama sekali saya menekan sekeras-kerasnya tiada terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut.
“Ini merupakan sebuah usaha oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya.
“Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam tidak bertempat,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Afdlin memberitahu, dia telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Jelasnya, pihak DBKL juga sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
“Saya juga telah membuat satu laporan polis bersama pihak PDRM pada hari ini untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara ini.
“Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL,” kongsinya.
Afdlin menegaskan, dia turut bersedia untuk memberi kerjasama dengan mana-mana pihak agar namanya dapat dibersihkan dengan sewajarnya.
Dia juga berharap agar orang ramai tidak terlalu terburu-buru dalam memberi tanggapan buruk mengenai fitnah yang tersebar.
“Saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan
tanggungjawab mereka.
“Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.
“Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan untuk berleluasa. Saya yakin dan pasti dengan izin Allah SWT akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” ujarnya.
Sejak 28 Januari lalu, kecoh di Telegram Edisi Siasat mendakwa Afdlin yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat DBKL antara individu terlibat dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh DBKL dipercayai bernilai lebih RM10 juta.
Aduan tersebut dipercayai dilakukan oleh kakitangan DBKL kepada Edisi Siasat. – MalaysiaGazette