KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pulau Pinang akan terus setia dengan kepimpinan parti itu.
Ketuanya, K Jayaraman berkata, dalam masa sama pihaknya akan menerima dan menghormati setiap keputusan yang dibuat demi kepentingan rakyat dan negara.
“DHPP Pulau Pinang akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat majmuk serta memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum, atau status sosial,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, sebagai sayap Pas pihaknya ingin menumpukan perhatian kepada kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) demi memastikan kekuatan gabungan itu berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Sesiapa yang memimpin gabungan ini di Pulau Pinang pada PRU-16 wajib menjadikan kerjasama antara parti komponen PN sebagai keutamaan.
“Kami yakin bahawa gabungan ini akan menarik perhatian pengundi dan mampu membawa perubahan yang lebih baik dalam memenuhi aspirasi rakyat dengan lebih berkesan,” katanya.
Terdahulu, terdapat ura-ura mengatakan PN di Pulau Pinang bergolak.
Namun ia dinafikan oleh Ketua Penerangan Pas negeri itu, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dilaporkan berkata, pihaknya sedia memimpin PN di Pulau Pinang dan terbuka mengadakan perbincangan bersama pemimpin gabungan.
Kenyataan beliau itu susulan laporan media mengenai PN mengalihkan fokusnya di Pulau Pinang kepada pengundi Melayu dan India untuk memenangi majoriti tipis kerusi pada PRN akan datang. – MalaysiaGazette