LONDON – Salwan Momik, dikenali kerana membakar al-Quran, ditembak mati di kediamannya di bandar Sodertalje, Sweden malam kelmarin, lapor media tempatan.
Salwan Sabah Matti Momika, 38, dikejarkan ke hospital, kata jurucakap polis Stockholm.
Namun polis kemudian mengesahkan lelaki itu meninggal dunia dan siasatan dilakukan terhadap pembunuhan tersebut.
Menurut laporan rangkaian televisyen SVT, polis Denmark turut diberi taklimat mengenai pembunuhan tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson berkata, perkhidmatan keselamatan terlibat dalam siasatan tersebut.
“Terdapat risiko memandangkan terdapat hubungan dengan kuasa luar negara,” kata Kristersson pada sidang media.
Momika, penganut Kristian warga Iraq, diberi permit untuk bermastautin pada 2021 dan beliau dikenali kerana membakar al-Quran beberapa kali di tempat awam di negara Nordik.
Pada tahun lalu, Momika bersama Salwan Najem, didakwa sebanyak empat kali secara berasingan kerana melakukan ‘kegemparan terhadap etnik atau kumpulan nasional’ pada musim panas 2023.
Sebelum ini, Agensi Migrasi Sweden telah membatalkan permit pemastautin Momika kerana memberi maklumat palsu pada permohonan asal.
Momika yang tinggal di Sweden sejak 2018 berhijrah ke Norway pada 27 Mac tahun lalu namun ditahan dan dihantar pulang ke Sweden.
Pembakaran al-Quran dibenarkan di Sweden dan Denmark di bawah kebebasan bersuara telah mencetuskan kemarahan negara-negara Islam.
Berikutan bantahan dari negara Islam, Denmark meluluskan undang-undang pengharaman membakar al-Quran di tempat awam pada Disember lalu. – Agensi