KUALA LUMPUR – Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar secara rasmi memulakan tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-23 hari ini.
Mohd Nizam telah memecah tradisi apabila menjadi jeneral tiga bintang pertama yang dilantik terus sebagai PAT yang lazimnya dilantik dalam kalangan jeneral empat bintang.
Majlis pemakaian pangkat PAT ke-23 itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Auditorium Wisma Pertahanan.
Sejurus selesai acara tersebut, Khaled menyaksikan acara Serah Terima Tugas Panglima daripada Angkatan Tentera antara PAT ke-22, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman kepada Mohd Nizam.
Mohd Nizam yang diberikan kepercayaan menerajui ATM merupakan graduan Royal Military Academy Sandhurst, England.
Beliau pernah menghadiri pelbagai kursus kerjaya di dalam serta luar negara, antaranya kursus Junior Command and Staff College, Bangladesh; Mid Career Management Course, Pakistan; Command and General Staff College Fort Leavenworth, Amerika Syarikat dan Le Collège Interarmées de Défense, Perancis.
Mohd Nizam menamatkan pengajian di Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya dan dianugerahkan The National Resilience College (NRC) Award oleh NRC Directing Staff Council.
Beliau juga merupakan graduan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Nottingham dan pernah menerima Anugerah Fellow Scholar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kerjaya ketenteraan beliau bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Juruiring (Aide-De-Camp) kepada Timbalan Panglima Tentera Darat (1989-1990) dan Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali (1990-1992).
Di atas dedikasi dan kewibawaan yang ditunjukkan sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia, beliau diberi kepercayaan menjadi Juruiring kepada Yang di-Pertuan Agong ke-14 (2011-2016).
Beliau pernah menjawat jawatan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Ipoh dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Port Dickson.
Sebelum menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA) di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM – BPA), Mohd Nizam telah menjawat jawatan sebagai Komandan MKN PUSPAHANAS, Putrajaya.
Terdahulu, Mohammad Abd Rahman mengambil alih jawatan PAT ke-22 daripada Jeneral Tan Sri Affendi Buang. – MalaysiaGazette