KUALA LUMPUR – “Saya dan keluarga terima sepenuhnya keputusan mahkamah hari ini. Saya rasa kita semua perlu ‘move on’ selepas ini,”.
Itu antara kata-kata pelawak, Harith Iskander selepas keputusan selepas prosiding kes pertuduhan seorang lelaki yang menghantar ugutan rogol dan bunuh kepada anak perempuan pasangan itu di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Ugutan itu ditujukan kepada Harith selepas pelawak itu memuat naik hantaran dalam media sosial mengenai topik sandwic ham dan cheese.
Majistret Mageswary Subramaniam menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 terhadap Izzuddin Md Salim selepas pembuat rumah itu mengaku bersalah.
Harith berkata, beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan lega kerana isu tersebut sudah diselesaikan di muka pengadilan.
Sementara itu, bekas isteri Harith, Dr Jazemine Lim yang juga pengurus pelawak itu tidak mampu berkata-kata dan menangis.
Selepas melihat keadaan Jazemine, Harith menenangkan wanita itu dan memohon semua pihak memberi ruang untuk wanita tersebut bertenang.
Ketika keputusan dibacakan, Jazemine kelihatan mengalirkan airmata sejurus selepas tertuduh mengaku bersalah dan memohon maaf.
Prosiding hari ini juga memakan masa memandangkan banyak kes-kes lain di Mahkamah Majistret namun pasangan itu sabar menanti sejak jam 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari. – MalaysiaGazette