Pekerja Sarasvathy menunjukkan premis mereka yang selalunya dipenuhi kelapa kini kosong meskipun Thaipusam bakal disambut kurang dua minggu lagi.

GEORGE TOWN – Bekalan kelapa yang semakin meruncing menyebabkan para penganut Hindu yang merayakan Thaipusam bulan ini mungkin berdepan cabaran besar.

Seorang pembekal utama kelapa bagi Thaipusam di Pulau Pinang, P. Sarasvathy, 66, berkata, dia tidak dapat memenuhi permintaan kelapa untuk sambutan Thaipusam kali ini, meskipun pada tahun-tahun sebelumnya mampu membekalkan antara 80,000 sehingga 100,000 biji kelapa mengikut permintaan pelanggan.

Sarasvathy berkata, isu bekalan ini bermula sejak Mei lalu apabila dia mula menyedari penurunan hasil yang ketara.

Sarasvathy.

“Saya dan suami pajak kebun kelapa di tiga lokasi di Perak iaitu di Pantai Remis, Bagan Datuk dan Kuala Bernam dengan jumlah 420,000 pokok sejak 40 tahun lalu.

“Dulu setiap dua hari kami mampu tuai 10,000 hingga 15,000 biji kelapa tapi kini hanya antara 2,000 hingga 2,500 biji, jauh berkurangan daripada jumlah biasa.

“Pokok kelapa di kebun nampak sihat tapi entah kenapa hasilnya sangat kurang… nak kata isu pokok tua tidak timbul kerana kesemua tanaman di situ baru berusia lapan tahun,” katanya pada sidang media di premisnya di Lorong Abu Siti, di sini, hari ini.

Tambah Sarasvathy, dia cuba mendapatkan tambahan bekalan dari Kelantan namun pembekal di sana juga menghadapi masalah serupa.

Sarasvathy kini hanya mampu menuai hasil antara 2,000 hingga 2,500 biji kelapa berbanding 10,000 hingga 15,000 sebelum ini.

“Tahun ini saya hanya mampu bekalkan 18,000 biji kelapa untuk Kuil Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga, itupun kerana saya merupakan pembekal untuk mereka saban tahun manakala bagi pelanggan lain tiada sebiji pun dapat dibekalkan.

“Sejak Oktober saya sudah menerima tempahan tetapi saya terpaksa menolak kerana saya sudah tahu masalah bekalan ini.

“Ramai pelanggan menghubungi saya bertanya kenapa tiada jualan kelapa dan ada yang marah sehingga adakalanya memaksa saya untuk tidak menjawab panggilan,” tambah Sarasvathy, yang mengakui bahawa kerugian yang dialami pada tahun ini mencecah puluhan ribu ringgit.

Sarasvathy juga menegaskan bahawa walaupun ramai yang mencadangkan untuk membeli kelapa dari Indonesia, dia enggan berbuat demikian kerana pengalaman buruk sebelum ini.

“Saya pernah ambil satu tan kelapa dari Indonesia, sebelum ini tetapi 300 kilogram daripadanya rosak. Rasa kelapa mereka juga tidak sama dengan kelapa tempatan dan pelanggan saya tidak puas hati,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan santan di Jelutong di sini dan Taiping, Perak.

Pada Disember lalu, Kerajaan memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi untuk menghadapi musim perayaan berturut-turut pada awal tahun depan termasuk Tahun Baharu Cina, Ramadan, dan Aidilfitri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak kementerian sedang berunding dengan agensi berkaitan, seperti Fama Corporation Sdn Bhd, bagi memastikan bekalan kelapa dapat ditambah melalui import dari negara pengeksport, khususnya Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast