PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi bagi mendukung komitmen Perdana Menteri membantu membangunkan semula Gaza akan memulakan mesyuaratnya pada Khamis depan.
Lantaran itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar menggesa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selalu berurusan di Gaza dan Palestin turut serta dalam mesyuarat berkenaan.
“Kita (akan) panggil juga pihak NGO yang biasa terlibat dalam membantu Gaza seperti ABIM dan Ikram.
“Saya akan mempengerusikan mesyuarat pertama, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee akan pengerusi mesyuarat seterusnya.
“Kita akan jalankan kerja bersama-sama agar hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia dapat memainkan peranan dengan Kerajaan Jepun untuk membantu rakyat Gaza yang dizalimi oleh zionis Israel,” katanya kepada media.
Mohd Na’im berkata demikian selepas menghadiri program Zikir Akhbar Madani di Masjid Sultan Mizan, malam tadi.
Mohd Na’im sebelum ini berkata, Jakim akan menggerakkan satu jawatankuasa khas penyelarasan agensi dan Yayasan Waqaf Malaysia akan dibentuk bagi mendukung komitmen Perdana Menteri membantu membangunkan semula Gaza.
Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh komitmen Anwar untuk menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza.
Baru-baru ini, Anwar mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin yang akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Beliau berkata, usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara Kerajaan Jepun dengan Malaysia berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur selepas gencatan senjata dilaksanakan Ahad lepas. – MalaysiaGazette