SEREMBAN – Seorang wanita dan kekasihnya didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan di sebuah rumah di Teluk Kemang, Port Dickson pada 21 Jan lepas.

Nurul Ain Haslan, 19, dan Muhammad Emer Irfan Hasren, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut dengan niat bersama telah membunuh seorang bayi perempuan yang mengakibatkan kematian di sebuah rumah di Teluk Kemang, Port Dickson antara 5.30 pagi hingga 4 petang pada 21 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon satu tarikh bagi laporan bedah siasat, kimia, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Mahkamah menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Port Dickson.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang kekasih di dua lokasi berasingan selepas disyaki terlibat menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di sebuah rumah di Telok Kemang, Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson pada 11.13 pagi mengenai seorang pesakit perempuan warga tempatan telah melahirkan anak tetapi bayinya gagal dikesan.

Beliau berkata, siasatan lanjut yang dijalankan telah menemukan bayi berkenaan disembunyikan dalam beg di bilik sebuah rumah di sini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here