Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan kes pelampung permainan gelongsor air kaca di Sky City, Taman Tema I-City, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor yang dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung taman tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dilakukan berdasarkan kepada satu laporan polis yang dibuat pada jam 1 pagi tadi setelah penularan rakaman video berdurasi 13 saat di media sosial.

“Dalam kejadian ini, mangsa iaitu seorang perempuan berbangsa Melayu berusia 20-an dikatakan melintasi bahagian bawah permainan gelongsor air Sky City, secara tiba-tiba belon pelampung terjatuh dari penyangkut dan terkena pada bahagian sisi tubuh mangsa.

“Mangsa telah menerima rawatan di salah sebuah poliklinik di Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius,” kata Mohd Iqbal dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal memberitahu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan kompaun bertarikh 14 November 2024 atas kesalahan pembinaan taman tema tanpa kelulusan bertulis dari pihak MBSA.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enekmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995, iaitu beroperasi tanpa lesen yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Kes juga disiasat dibawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600m di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.

Video berdurasi 15 saat itu memaparkan mangsa menangis dan mengadu kesakitan selepas ditimpa pelampung terbabit.

Perkara itu mencetuskan kebimbangan orang ramai dan mempersoalkan tahap keselamatan permainan di taman tema tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here