SHAH ALAM – Dua lelaki Indonesia diburu polis selepas menghantar tiga daripada empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cedera ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati dua lelaki itu dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan polis yakin ada beberapa lagi individu terlibat berdasarkan saiz bot dan keterangan saksi.
Beliau berkata, pihaknya telah merakam 14 percakapan membabitkan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain dua daripada empat suspek yang cedera itu.
Sebelum ini, Polis Selangor mengesahkan menerima satu laporan berhubung tiga lelaki disyaki warga asing mengalami kecederaan dipercayai kesan tembakan pada anggota badan di Hospital Sultan Idris Shah.
Hussein berkata, laporan terbabit dibuat seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan ketika sedang bertugas yang memaklumkan menerima kesemua mangsa pada 7.30 pagi.
“Kesemua pesakit dalam keadaan sedar dan mengalami kesan kecederaan kesan tembakan di anggota badan,” katanya menerusi kenyataan kepada media.
Hussein berkata, siasatan lanjut mendapati ia merupakan rentetan kes sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dilanggar empat kali oleh sebuah bot dipercayai milik suspek (mereka yang cedera) ketika menjalankan tugas rondaan perairan di Tanjung Rhu pada 3.00 pagi hari yang sama.
Beliau berkata, semasa kejadian, dua suspek dipercayai warga asing yang berada di dalam bot itu cuba menyerang anggota APMM menggunakan parang.
“Kita hampir selesaikan siasatan dan akan merujuk pihak Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya. – MalaysiaGazette