KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret, di sini, diperdengarkan pengakuan salah dan kesal seorang lelaki yang dituduh mengugut pelawak, Harith Iskander dan keluargnya, baru-baru ini.
Berikutan itu, Majistret Mageswary Subramaniam menjatuhkan hukuman menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula daripada tertuduh, Izzuddin Md Salim ditangkap pada 24 Januari lalu dan denda RM2,000 selepas beliau mengaku bersalah melakukan ugutan rogol dan bunuh terhadap anak perempuan Harith.
Sekiranya tukang rumah berusia 30 tahun itu itu gagal membayar jumlah denda tersebut, beliau boleh dipenjara sebulan.
Izzuddin didakwa melakukan ugutan itu melalui pesanan mesej menggunakan aplikasi Whatsapp yang dihantar ke telefon bimbit syarikat milik bekas isteri Harith, Dr Jezamine Lim.
Tertuduh juga menyelitkan beberapa gambar anak perempuan pasangan itu sambil mengugut dengan menggunakan perkataan-perkataan yang mendatangkan rasa takut.
Mageswary sejurus mendengar pengakuan bersalah itu bertanya adakah Izzuddin menyedari implikasi tindakan tersebut yang ternyata serius dan sengaja dilakukan.
Namun Izzuddin berkata, dia tidak menyedari tindakan itu menakutkan, sebaliknya hanya berniat untuk bermain dengan perasaan Harith tanpa berniat melakukan perbuatan seperti yang tertulis dalam kandungan mesej tersebut.
Soal Mageswary, andai perkara itu dilakukan kepada anak tertuduh, adakah dia boleh berkompromi dan tidak berasa apa-apa.
Hakim: Adakah kamu sedar ugutan kamu itu dengan sengaja mencetuskan ketakutan lagi dengan gambar kamu hantar?
Tertuduh: Yang Arif, saya tidak sengaja. Saya tidak ada apa-apa niat. Hanya mahu mainkan perasaan Harith sahaja. Tidak ada maksud lain.
Hakim: Adakah kamu mengaku salah dan sedar kesalahan kamu ini serius? Betul atau tidak? Jika seseorang buat perkara sama pada anak perempuan kamu, apa kamu rasa?
Tertuduh: Ya, saya akan rasa marah dan takut. Saya mengaku salah dan memohon maaf atas perbuatan saya. Tolong berikan saya hukuman ringan kerana ini kesalahan pertama saya. Saya janji tidak ulang lagi sampai bila-bila.
Mengikut pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa menghantar Whatsapp berserta gambar yang mengandungi kata-kata ugutan yang bermaksud tertuduh akan melakukan jenayah rogol dan bunuh yang mana WhatsApp itu dihantar oleh tertuduh dan diterima oleh Jezamine Lim yang mana perbuatan tertuduh menakutkan secara jenayah.
Kandungan Whatsapp itu dibaca Jezamine di sebuah restoran di sini pada 8.50 pagi pada 23 Januari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
Bagaimanapun ketika prosiding, peguam mewakili tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK) memohon hukuman lebih ringan memandangkan umur anak guamnya yang masih muda selain kesalahan kali pertama selain wajar diberikan peluang kali kedua.
Namun Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman membantah sambil menyatakan kewajaran umur mahupun hujahan kesalahan kali pertama tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk hukuman ringan.
“Hukuman berat adalah wajar memandangkan tahap serius kesalahan itu selain memberikan pengajaran bukan sahaja kepada OKT tetapi juga kepada mana-mana individu yang mungkin melakukan kesalahan sama pada masa depan,” ujarnya.
Ancaman itu dipercayai dibuat selepas pelawak berkenaan memuat naik hantaran dalam media sosial mengenai topik sandwic ham dan cheese. – MalaysiaGazette