SHAH ALAM – Seorang wanita yang ditahan berhubung siasatan kes penipuan berjumlah RM95,180 yang dibuat isteri kepada pelakon dan pelawak Along Cham dikesan memiliki lima rekod kes penipuan di empat negeri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rekod tersebut melibatkan kes di Sabah, Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor.
“Suspek wanita itu kini direman empat hari manakala suaminya selama tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Menurut Hussein, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sama ada wujud penglibatan pihak berkuasa berhubung dakwaan suspek wanita itu untuk membantu menurunkan seksyen tuduhan terhadap Along Cham.
“Kita sedang siasat dakwaan siapa pihak berkuasa terlibat itu, sama ada polis atau agensi lain atau juga satu tuduhan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Sebelum itu, media melaporkan pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an itu ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang pukul 10 malam kelmarin.
Penahanan itu susulan laporan yang dibuat isteri Along iaitu Afreena Suhaimi berhubung dakwaan kes penipuan berjumlah RM95,180 berkaitan bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah.
Dalam siasatan polis mendapati, mangsa berjumpa dengan suspek pada Disember lalu bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya (Along Cham) dan menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan.
Mangsa yang bersetuju kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek.
Namun selepas bayaran dibuat mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan berkenaan dan tampil membuat laporan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette